KUALA LUMPUR – Ranking dunia lelaki Hoki 5 sebelah (5s) pertama dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) semalam menyaksikan Malaysia berkongsi  tempat kedua dengan India dan Oman.

Belanda, juara Eropah yang memenangi Piala Dunia Hoki5s pertama di Muscat, Oman, Januari lalu mendahului ranking dunia dengan 1,750 mata.

Malaysia, yang menduduki tempat keempat dalam Kejuaraan Asia pada Ogos lepas sebelum meraih kedudukan naib juara Piala Dunia, mengumpul 1,400 mata untuk berkongsi  ranking kedua dengan juara Asia, India, yang menduduki tempat kelima dalam Piala Dunia dan Oman, yang menduduki tempat ketiga dalam pertandingan dunia itu.

Poland dan Mesir (1,350 mata) berkongsi tempat kelima dalam ranking dunia; Trinidad & Tobago dan Kenya (1,200 mata) terikat di tempat ketujuh manakala Pakistan (1,150 mata) dan Australia (1,100 mata) melengkapkan barisan 10 pasukan terbaik dunia.

Sementara itu, pasukan hoki 5s wanita negara berada di tempat keenam dalam ranking dunia dengan 1,250 mata selepas menduduki tempat keenam dalam Piala Dunia dan diikuti rapat oleh Ukraine, New Zealand, dan Amerika Syarikat berkongsi tempat ketujuh dengan 1,200 mata.

Juara Piala Dunia, Belanda (1,750 mata), naib juara India (1,550 mata) dan Poland yang memenangi tempat ketiga (1,450) menduduki tiga tempat teratas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast