Pesawat pengangkut C-130 milik RSAF menggugurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

SINGAPURA – Singapura berjaya melaksanakan misi menggugurkan bantuan kemanusiaan pertamanya ke Gaza pada Rabu, sebagai sebahagian daripada peringkat ketiga bantuan kemanusiaan negara itu ke kawasan konflik.

Dalam hantaran di Facebook, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) berkata, misi menggugurkan bantuan itu menggunakan pesawat pengangkut C-130 milik RSAF yang dijalankan dengan kerjasama rapat Tentera Udara Jordan.

“Kami berharap misi menggugurkan bantuan ini akan membawa sedikit kelegaan kepada situasi kemanusiaan di Gaza,” menurut RSAF.

Pakej kemanusiaan Singapura mengandungi pek makanan dan bekalan kritikal termasuk peralatan perubatan.

Kenyataan bersama oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan berkata kerajaan Singapura menyediakan pakej kemanusiaan itu dengan kerjasama kerajaan Jordan bagi memastikan sejajar dengan keperluan khusus di lapangan di negara berkenaan.

Penglibatan proaktif Singapura dalam menyalurkan bantuan kepada Gaza menekankan dedikasinya terhadap prinsip kemanusiaan dan kesediaannya untuk menyumbang kepada usaha bantuan antarabangsa di zon konflik. – BERNAMA