KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti dan memperhalusi semua tuntutan Kerajaan Sarawak berhubung autonomi pendidikan di negeri itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong kah Woh berkata, penelitian dibuat meliputi aspek sumber manusia, operasi dan pembangunan.
Turut diteliti aspek dasar dan perundangan bagi memastikan ia selari dengan dasar yang sedang berkuat kuasa.
“Autonomi pendidikan yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak ialah pemberian kuasa Menteri Pendidikan di bawah Seksyen 28 dan 31 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak bagi meluluskan permohonan pembinaan bangunan gantian atau tambahan.
“(Ia termasuk) kerja ubah suai atau naik taraf di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri Sarawak atau mana-mana pihak selain Kerajaan Persekutuan mulai Mac 2024, tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mahu kementerian menyatakan sejauh mana status perbincangan mengenai autonomi pendidikan antara kementerian dengan Sarawak serta apakah perkara atau isu autonomi yang telah dibincang dan bilakah akan dilaksanakan.
Menurut kah Woh lagi, KPM komited dalam perundingan dengan pihak kerajaan negeri Sarawak bagi memenuhi tuntutan yang dipohon berdasarkan keupayaan, keperluan dan bidang kuasa yang sedang berkuatkuasa. – MalaysiaGazette
















