Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu mengarahkan Yinson Transport (M) Sdn Bhd untuk membayar caruman skim keselamatan sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 291 pekerjanya yang tertunggak sejak Januari 2011 hingga Julai 2018.

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah bagi enam pertuduhan ke atas majikan kerana gagal membayar caruman Perkeso berjumlah RM705,150.10 kepada 291 pemandu lori terbabit.

Menurut Perkeso majikan turut diarahkan menjelaskan keseluruhan tunggakan caruman secara enam kali ansuran bermula Mei 2024.

“Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) majikan bertanggungjawab memastikan semua pekerja mencarum skim keselamatan sosial supaya pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial terutamanya pekerjaan dalam sektor pengangkutan seperti pemandu lori yang sentiasa terdedah dengan bahaya semasa menjalankan pekerjaan mereka.

“Sekiranya majikan gagal membayar caruman, mereka boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) dan 8 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP 1969), dan Peraturan 32 Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 serta boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 94(a) Akta yang sama,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA