PUTRAJAYA – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, kerajaan memutuskan melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 6 hingga 9 April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tempoh lanjutan itu diadakan berdasarkan sambutan orang ramai dan individu yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurutnya, subsidi itu bagi membolehkan pengguna tidak akan membayar harga tiket melebihi RM599.
“Bagaimanpun penumpang boleh mendapatkan harga yang lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal,” katanya dalam sidang media hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung kerajaan dan pembayaran itu tidak termasuk cukai dan fi hanya untuk pergi sahaja.
Katanya, harga maksimum ini boleh membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket penerbangan pada saat akhir atau di laluan yang mempunyai permintaan tinggi dalam perjalanan balik kampung.
Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Madani akan menanggung kos tiket penerbangan sehala yang melebihi RM599 untuk tiga hari dan penambahbaikan ini dijangka akan memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta.
Inisiatif dimulakan MOT sejal Disember tahun lalu sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan.
Anthony berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif-inisiatif lain termasuk memudahcara penambahan penerbangan bagi Aidilfitri.
Melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), kerajaan telah memudahcara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April ini.
Katanya, strategi itu telah menunjukkan kesan yang positif di mana lebih banyak tiket penerbangan terutama bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga yang lebih murah.
“Pada 4 Mac lalu, AirAsia juga telah memberi kerjasama dengan menawarkan 22,000 tiket penerbangan pada harga tetap RM298 sehala untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dan RM348 sehala untuk Kuala Lumpur ke Sabah,” katanya dalam sidang media sama.
Anthony berkata, perkhidmatan KTM juga telah menerima sambutan yang baik di Semenanjung dan bagi memenuhi permintaan tersebut, KTMB akan menyediakan enam perkhidmatan tren ETS tambahan bermula dari 4 hingga 15 April.
Perkhidmatan tersebut adalah dua laluan untuk KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral; dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Butterworth – KL Sentral dan dua perkhidmatan ekspress laluan untuk KL Sentral – Ipoh – KL Sentral.
Tambah Loke, perkhidmatan tambahan ETS menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah 15,120 termasuk tren ekspres.
“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,” katanya.
Dalam pada itu, bagi penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB kata Loke akan turut menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya menawarkan 952 tiket.
Katanya, Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 buah stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
“Tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual pada hari ini bermula jam 5 petang dan orang ramai boleh membuat pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk-kiosk tiket yang tersedia di semua stesen-stesen utama KTMB,” katanya lagi. – MalaysiaGazette