Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.

Aktivis Politik, Shahir Adnan berkata, berdasarkan kenyataan Hong Leong Investment Bank (HLIB), harga bahan api itu dijangka meningkat sebanyak 64 peratus bagi RON95 dan 61 peratus bagi diesel.

“Harga semasa RON95 yang digunakan oleh rakyat pada hari ini adalah sekitar RM2.05 seliter. Ini bermakna sekiranya diapungkan, harganya akan meningkat kepada RM3.36 seliter, peningkatan sebanyak RM1.31 sen bagi setiap liter.

“Kiraan mudah, rakyat perlu bayar lebih sebanyak RM13.10 sen untuk mengisi 10 liter RON95,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, secara asasnya, langkah pengapungan harga bahan api akan membantu mengurangkan defisit fiskal tetapi memberi tekanan ke atas inflasi.

“Namun begitu apakah teori ekonomi ini dapat mengurangkan beban rakyat atau pun rakyat akan makin tertekan dengan kos sara hidup yang bakal melambung tinggi?” soalnya.

Katanya lagi, naik atau turun harga minyak ditentukan oleh permintaan dan penawaran minyak mentah melibatkan kos bahan itu di pasaran dunia dan kadar tukaran mata wang ringgit.

Ujarnya, nilai minyak mentah di Malaysia ditentukan oleh harga minyak Brent tapis Malaysia yang harganya sekitar USD80 hingga USD90 setiap barrel atau 159 liter.

“Sekali lagi, pengiraan mudah tanpa mengambil kira kos penapisan dan sebagainya, sekiranya kita menggunakan minyak keluaran negara kita, harga minyak adalah sekitar RM2.77 setiap liter. Ini jauh lebih tinggi daripada harga sekarang.

“Namun begitu, kita turut mengimport minyak mentah dari negara pengeluar dunia lain. Pada tahun 2022, Malaysia mengimport $12.2B iaitu Saudi Arabia ($5.54B), United Arab Emirates ($1.53B), Brazil ($1.07B), Kuwait ($513M) dan China ($397M).

“Pada hemat saya, pengapungan harga minyak hanya boleh dilakukan apabila nilai ringgit kita mengukuh dan kuat. Jika tidak, harga minyak di negara kita akan melambung tinggi akibat ringgit yang lemah,” tambahnya.

Rantaian kenaikan harga barang akan mencanak tinggi susulan harga diesel naik menyebabkan kos penghantaran turut meningkat.

Lebih parah lagi apabila cukai perkhidmatan SST telah dinaikkan pada 1 Mac lalu daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Katanya, akibat harga barang akan naik lagi dan akhirnya, bantuan bersasar yang diuar-uarkan daripada penjimatan subsidi itu tidak akan mampu membantu kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette