Antara PATInyang berjaya ditahan dalam serbuan awal pagi tadi di kawasan tapak pembinaaan Jaya Putra, lewat malam tadi.

JOHOR BAHRU – Seramai 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen Johor menggempur tapak pembinaan di Jaya Putra tengah malam tadi.

Operasi yang bermula jam 12.38 minit malam itu susulan maklumat awam berhubung kebanjiran pendatang asing di kawasan itu sehingga menimbulkan kegusaran penduduk.

Pengarahnya Baharuddin Tahir berkata, dalam Ops Sapu itu  lebih 12 buah rumah kongsi dianggarkan mempunyai 200 buah bilik telah kami periksa.

“Dalam operasi itu, 219 warga asing dan seorang warga tempatan telah diperiksa. 137 ditahan kerana melakukan kesalahan Seksyen 6 (1) ( C)  Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang permit sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri 98 warga Indonesia termasuk  17 perempuan;19 warga Bangladesh, Myanmar (15) dan seorang lelaki Vietnam dan dua lelaki Pakistan.

Kesemua mereka yang ditahan berusia 18 hingga 55 tahun.

Katanya, JIM Johor akan terus pergiat operasi bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.- MalaysiaGazette