PUTRAJAYA – Seramai 19,515 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang telah hadir dan membayar kompaun kepada pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat 21 Mac lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 13,760 PATI telah pulang ke negara asal.

“Data sehingga 21 Mac 2024 yang sudah berdaftar, tampilkan diri ke pejabat Imigresen, bayar kompaun dan sebagainya 19,515 orang.

“Yang benar-benar telah meninggalkan negara kita seramai 13,760 PATI yang pulang.

“Kesemua ini atas kesalahan tinggal lebih masa, salah guna pas dan tanpa dokumen semasa ditahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Menurut Saifuddin, daripada jumlah itu juga, KDN berjaya mengutip kompaun daripada PATI yang berdaftar sebanyak RM9,477,300.

“Program Rekalibrasi Pulang yang berakhir 31 Disember 2023, mereka perlu tampilkan diri ke pejabat Imigresen, bayar kompaun, kemudian mereka balik.

“Melaluinya juga, KDN tidak teruskan tindakan undang-undang ke atas PATI di bawah kesalahan Akta Imigresen 1959 dan Akta Pasport yang mungkin membawa kepada pemenjaraan.

“Kita terus pantau perkara ini sebab ini kita anggap sebagai satu inisiatif yang penting dalam menguruskan soal keberadaan pendatang asing tanpa izin di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette