KUANTAN – Pengguna jalan raya di negeri ini boleh membuat aduan terus kerosakan jalan membabitkan jalan persekutuan, jalan negeri serta lebuh raya yang diselia oleh Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi aplikasi MyJalan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, aduan menerusi aplikasi ini dapat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya kerana aduan yang diterima akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan.
“Pendekatan ini dapat mendidik masyarakat perbezaan di antara jalan persekutuan dan jalan negeri.
“Selama ini kerajaan negeri sering kali menjadi mangsa kemarahan rakyat setiap kali jalan persekutuan mengalami kerosakan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Jalan raya di bawah kerajaan negeri adalah sepanjang 43,034 kilometer dan jalan persekutuan 3,918 kilometer, merupakan jalan yang terpanjang di negara ini.
Razali berharap kempen MyJalan dapat diterima baik oleh rakyat untuk sama-sama memastikan jalan di negeri ini berada dalam keadaan baik serta selamat untuk semua.
Aplikasi MyJalan dilancarkan pada 24 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette