Tertuduh, Mohd Haiidhir Yussof, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat memecahkan cermin kereta bekas isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Haiidhir Yussof, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, perbuatan itu berpunca selepas bekas isterinya tidak mengangkat panggilan telefon dan tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Syariah cerai talak tiga dilafazkannya adalah sah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat terhadap cermin hadapan kereta bekas isterinya, berusia 41 tahun dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM480.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada di kawasan letak kenderaan Mahkamah Syariah Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 11.45 pagi 14 Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM6,000.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu dengan gaji asas hanya RM1,500 sebulan selain perlu menanggung anak-anaknya bersama bekas isteri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dan kes akan disebut semula 9 Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast