NILAI – Pendebat Universiti Sains Islam Selangor (USIM) dinobatkan juara Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor di bagi kategori institusi pengajian tinggi yang diadakan pada 10 Mac lalu.
Menggunakan format debat presiden, USIM yang diwakili oleh Muhammad Najmie Abdullah, 23, dan Ummu Unaisah Mohd Nordin, 21, menewaskan tiga pasukan bahas lain di pentas akhir untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM8,000, piala pusingan Menteri Besar Selangor, trofi dan sijil.
Membahaskan usul ‘Dewan Ini Akan Melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Demi Kemaslahatan Setempat’, tiga pasukan lain yang turut ke peringkat akhir adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
UKM dinobatkan sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dan keempat disandang oleh UPNM A dan UPNM B dengan masing-masing memperoleh RM2,000 dan RM1,000 bagi setiap pasukan.
Menurut Muhammad Najmie, persiapan awal bersama jurulatih dan rakan pendebat lain memberi momentum yang baik untuk mereka ke pertandingan ini. “Menggunakan format debat presiden selain usul yang dibahaskan dari peringkat saringan hingga akhir sememangnya mencabar, ia memerlukan semua pendebat perlu ‘bekerja keras’ untuk menganalisis setiap isu dan hujah yang di bawa oleh pasukan lawan” ujar pelajar tahun tiga Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah ini.
Bagi rakan sepasukannya, Ummu Unaisah turut melahirkan rasa gembira berjaya mengharumkan nama USIM di pentas debat kebangsaan selain turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Hal Ehwal Pelajar atas sokongan kuat kepada pembangunan debat di USIM. Pelajar tahun dua jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat ini berharap kejayaan yang diraih menjadi motivasi kepada beliau dan pasukan bahas Bahasa Melayu USIM untuk terus berjaya dalam pertandingan debat seterusnya.
Sementara itu dalam pertandingan yang sama bagi kategori pra universiti, pembahas pelapis USIM yang diwakili oleh Nur Aina Husna Mohd Yahya dan Ilmi Haekal Mohd Hizam berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa majlis perasmian penutup memberitahu, pertandingan itu diharap dapat melahirkan mahasiswa serba boleh serta meneruskan legasi kecemerlangan negara pada masa depan.
“Mahasiswa mempunyai peranan kepada negara dalam mewujudkan perpaduan bangsa atau masyarakat madani yang maju dan bertoleransi. Mahasiswa berpotensi menjadi peneraju utama agenda Madani dan pemangkin serta peneraju masa hadapan negara ” ujar beliau.
Mendukung tema ‘Peranan Mahasiwa Dalam Memperkasa Bangsa Madani’, sebanyak 47 pasukan dari institusi pengajian tinggi dan 13 pasukan pra universiti bertanding pada edisi ketiga debat ini yang diadakan di Selangor Technical Skill Development Center (STDC). Kali pertama ia dianjurkan adalah di Universiti Selangor (UNISEL) pada tahun 2019 dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) pada 2023. – MalaysiaGazette