Dewan konsert yang terbakar

MOSCOW – Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan 137 cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata ketika sedang menyaksikan konsert sebuah kumpulan muzik, Picnik.

Jawatankuasa Siasatan Rusia mengumumkan pada hari Jumaat kejadian berlaku di Dewan Bandaraya Crocus, Krasnogorsk berhampiran Moscow.

Satu letupan juga kemudian dilaporkan di tempat kejadian, menyebabkan kebakaran besar.

Kementerian Kecemasan negara itu berkata, kira-kira satu pertiga daripada bangunan itu dijilat api dengan beberapa helikopter berusaha untuk memadamkan kebakaran.

Pejabat Peguam Negara Rusia berkata, beberapa orang yang tidak dikenali melepaskan tembakan sebelum konsert bermula dengan jawatankuasa penyiasat membuka kes jenayah berikutan kejadian itu, mengisytiharkannya sebagai “serangan pengganas.”

Nasib penyerang masih tidak diketahui, dengan beberapa laporan mendakwa mereka berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

Lebih 100 orang setakat ini telah dipindahkan dari bangunan itu, tambah kementerian itu, dengan lebih ramai orang menunggu bantuan di atas bumbung.

Pasukan khas Moscow, polis dan bomba bergegas ke tempat kejadian, di mana lebih 50 ambulans telah berkumpul, kata Kementerian Kesihatan.

Polis Moscow telah meningkatkan langkah keselamatan di stesen kereta api bawah tanah dan tempat awam lain.-Agensi