Allahyarham Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan dikatakan meninggal dunia akibat dipukul oleh beberapa pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan kerjasama berkaitan kes seorang pelajar lelaki yang ditemui mati di bilik asrama dipercayai dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah.

KPM dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan mengucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17 yang ditemui meninggal dunia semalam.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM
bersedia memberi kerjasama penuh. Dalam masa yang sama KPM
menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.

“KPM telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan
kebajikan kepada keluarga mangsa. Sokongan psikososial turut
ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian.

Media melaporkan, Mohammad Nazmie Aizzat ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

“Pihak polis mengenalpasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.

Polis juga mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast