Masjid Al-Aqsa
Wisma Putra

PUTRAJAYA – Malaysia dengan tegas mengutuk serangan ganas ke atas Dewan Bandaraya Crocus, Moscow pada 22 Mac, yang menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih daripada 145 mangsa.

Kementerian Luar  dalam kenyataan pada Sabtu juga mengesahkan bahawa semua rakyat dan pelajar Malaysia yang berdaftar di Moscow berada dalam keadaan selamat.

Rakyat dan pelajar Malaysia di Moscow dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Persekutuan Rusia serta kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu dan mendoakan agar mereka yang tercedera segera sembuh,” menurut kementerian itu.

Ia menambah bahawa pendirian negara amat jelas iaitu menolak sekeras-kerasnya segala tindakan keganasan dan ekstremisme dalam semua bentuk dan manifestasi, menekankan keperluan mendesak bagi usaha bersepadu di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan tindakan keganasan secara menyeluruh dan berkesan. – Bernama