Pelajar tahfiz berbuka puasa dengan mengikut sunnah dengan makan di dalam talam pada program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Berbuka puasa dengan juadah yang dihidangkan dalam dulang bagi merapatkan silaturahim antara acara menarik program Iftar@KL anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Nostalgia empat orang makan sedulang bertujuan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW ini berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac dan 6, 7 April ini bertempat Dataran Merdeka.

Sukarelawan JKKN, Cesar Cisneros, 52 (kiri) merasai sendiri pengalaman makan di dalam talam pada program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

Penganjuran kali ke-12 dilancarkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan hari ini dan beliau berkata, sebanyak 30 dulang disediakan untuk orang ramai berbuka bersama-sama atas faktor cuaca.

“Kenapa kira buat program ini sebanyak 12 kali? Pertama adalah untuk kita memperkenalkan cara rakyat kita berbuka puasa dalam masyarakat yang majmuk semua kaum boleh berbuka puasa bersama-sama.

“Kedua kita memperkenalkan pelancongan budaya kepada masyarakat di luar sana betapa unik cara kita berbuka puasa. Akhirnya kita hendak memastikan ada hubungan silaturahim yang erat antara kementerian dan masyarakat,” katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan melancarkan program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

Iftar@KL dianjurkan secara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Seni Budaya Putra.

Turut terlibat Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri.

Juga terbabit Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP), Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Pelajar tahfiz berbuka puasa dengan mengikut sunnah dengan makan di dalam talam pada program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

Objektif utama program ialah mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah.

Turut berlangsung Program Jom Exchange Al-Quran iaitu pemulangan kitab suci umat Islam yang tidak mendapat kelulusan dan digantikan dengan Al- Quran yang telah diluluskan oleh KDN.

Selain itu turut diadakan program ‘Suara Dari Gaza’ iaitu persembahan deklamasi puisi dan nasyid sebagai tanda solidariti dengan umat Islam di Palestin. Acara yang berlangsung selepas Isyak ini mendapat kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Antara pegunjung yang hadir berbuka puasa pada program Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 MAC 2024.

Iftar@KL 2024 dimeriahkan lagi dengan pelbagai pengisian menarik seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus al-Quran, tazkirah dan bicara Ramadan, Kaunter Zakat Fitrah MAIWP dan jualan makanan food truck.

Selain Kuala Lumpur, program iftar anjuran MOTAC turut diadakan di Sabah dan Pahang. – MalaysiaGazette