Anwar Ibrahim

KUANTAN – Keputusan berhubung penangguhan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Sarawak akan dibincangkan pada mesyuarat jemaah menteri minggu hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut telah dibincangkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

“Dia telah berikan beberapa kebimbangan, persoalan juga dibangkitkan. Jadi saya diminta supaya Menteri Ekonomi teliti dan jelaskan kepada mesyuarat jemaah menteri minggu depan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada sesi Walkabout Bazar Ramadan Taman Kerang, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta sistem PADU kerana mendaftar dengan PADU ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh pendaftaran dan kemas kini PADU yang dijadual berakhir pada 31 Mac ini.

Sehingga semalam, seramai 7.07 juta rakyat telah mendaftar dan mengemas kini sistem PADU. –  MalaysiaGazette