Adly Zahari

ALOR GAJAH – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersiap sedia sekiranya kerajaan meminta kerjasama untuk melaksanakan pembenihan awan susulan isu cuaca panas ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, walaupun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan untuk berbuat demikian, aset udara ATM sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kalau dilihat, sebelum ini kita pernah buat (bantu pembenihan awan) di Sabah dan kalau di Semenanjung ada tuntutan pun, kita akan bantu.

“Biasa pembenihan awan ini perlu mengambil kira faktor cuaca semasa jika cuaca benar-benar panas” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersamanya yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah di Gangsa di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaan ATM  menggerakkan aset jika kerajaan perlu melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) susulan cuaca panas akibat fenomena El Nino kali ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya perlu mengambil kira beberapa faktor bagi memastikan kejayaan OPA kerana melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Menurutnya, setakat ini belum ada negeri yang membuat permohonan untuk melakukan proses itu namun NRES sentiasa memantau paras air di empangan di seluruh negeri sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast