Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melakukan gimik dan merasmikan Pelancaran Inisiatif Ramadan CSR bersama Food Panda Malaysia di IWK Eco Park Community Centre, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 24 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai mengajak lebih ramai rakan korporat agar menyantuni golongan kurang bernasib baik serta menjamin kesejahteraan mereka yang turut menjadi aspirasi Kerajaan Madani.

Fahmi Fadzil berkata, bulan Ramadan bukan sekadar meraikan semangat memberi tetapi juga menyaksikan impak hebat yang tercetus apabila pelbagai pihak berkepentingan berpadu tenaga untuk menyumbang kembali kepada komuniti seperti di Lembah Pantai.

“Pada bulan Ramadan yang suci ini, kepentingan bantuan makanan menjadi lebih jelas, ini kerana terdapat ramai keluarga yang sedang bergelut untuk memenuhi tuntutan kehidupan mereka.

“Justeru, penyediaan ‘bakul makanan’ oleh Food Panda dan rakan-rakan kongsinya merupakan sokongan yang amat berharga dan tepat pada waktunya.

“Komitmen anda untuk mencetuskan perubahan positif amat serasi dengan agenda dan hasrat kerajaan yang memberi penekanan tinggi untuk menyantuni dan memartabatkan golongan kurang bernasib baik serta menjamin kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Inisiatif Ramadan CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) bersama Food Panda dan Rakan Kolaborasi serta Iftar Perdana Lembah Pantai hari ini.

Mengulas komitmen inisiatif murni syarikat penghantar makanan itu dalam menerajui kempen bersama rakan-rakan kongsinya memang merupakan sesuatu yang harus diteladani oleh semua.

“Saya berharap lebih banyak rakan korporat akan mengikuti jejak mereka pada masa hadapan selain saya juga dimaklumkan bahawa mereka terlibat dalam satu skim pengagihan 5,000 bakul makanan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada keluarga yang kurang berkemampuan di Malaysia.

“Selain itu, saya juga teruja untuk membawa berita baik tentang lanjutan kepada usaha mulia ini, yang mengalu-alukan setiap anda untuk memainkan peranan anda.

“Sepanjang Ramadan ini, bagi setiap pesanan yang dibuat melalui aplikasi foodpanda dengan kod “DERMA”, Food Panda akan menyumbang kepada tujuan murni ini melalui perniagaan pandamart-nya untuk melangkah lebih jauh membantu keluarga yang memerlukan.

“Kempen ini bukan sahaja sahaja membuktikan kuasa tindakan kolektif dalam menjana kebaikan, tetapi juga menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi pihak berkepentingan untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik pada saat getir ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette