Datuk Seri Mohamad Hassan

REMBAU – Malaysia kecewa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal membuat resolusi gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usaha itu adalah percubaan kesembilan dilakukan Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua bulan bagi membebaskan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka.

“Resolusi dicadangkan Amerika Syarikat (AS) tidak dipersetujui oleh Rusia dan China kerana terdapat beberapa perkara tidak menyentuh secara menyeluruh. Amerika Syarikat menggunakan kesempatan ini untuk menggelar Hamas sebagai pengganas.

“Malaysia tidak bersetuju Hamas digelar sebagai pengganas dan resolusi itu juga tidak menyebut bahawa rakyat Palestin dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka sebaliknya menyebut bahawa tebusan daripada Hamas perlu dikembalikan kepada Israel,” katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan kepada penerima bantuan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Siliau di Masjid Kariah Kampung Siliau di sini hari ini.

Mohamad berkata Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan sidang tergempar untuk mencapai kata sepakat bagi isu tersebut.

Menurutnya Malaysia membawa suara tegas dan menyeru supaya pembunuhan terhadap wanita dan kanak-kanak khususnya dihentikan serta-merta. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast