KUALA LUMPUR – Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) hari ini menggesa kerajaan menghenti atau menangguh pindaan Seksyen 1(a) dan Seksyen 2(3) sehingga bukti sahih daripada lapangan dan kajian terperinci dibuat.
Jurucakap MCRA, Suriani Kempe berkata, cadangan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan itu memerlukan kajian terperinci supaya ia tidak menimbulkan kemudaratan kepada golongan rentan terutama kanak-kanak.
Pada masa sama, katanya, pindaan berkaitan hak ibu Malaysia mewarisi kewarganegaraan kepada anaknya yang lahir di luar negara perlu diteruskan.
“Meskipun Seksyen 1(e) dan Seksyen 19B digugurkan dari cadangan pindaan (kerajaan) tetapi kedua-dua peruntukan itu perlu dibaca bersama peruntukan lain iaitu Seksyen 19B mesti dibaca bersama Seksyen 1(a) dan Seksyen 1(e) perlu dibaca bersama Seksyen 2(3).
“Ia kerana Seksyen 1(a) bertujuan memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak pemastautin tetap (PR).
“Seksyen 19B datang dengan tanggapan ibu kepada seorang anak terdampar adalah PR,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
MCRA sebelum ini menyatakan sebarang cadangan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan yang mengurangkan atau mengambil hak kewarganegaraan sedia ada tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
Ini kerana pindaan itu memerlukan data kukuh dan pemahaman sepenuhnya mengenai akibat dan jangka panjang.
Sehubungan itu, pihaknya membantah cadangan pindaan regresif lain dan menanti semakan yang mungkin dicadangkan oleh kementerian kepada pindaan asalnya dan terbuka untuk perbincangan lanjut.
Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dipetik berkata, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan dibuat kerana mengambil kira beberapa faktor.
Ia termasuk keperluan untuk tidak memberikan status kerakyatan secara automatik kepada warga asing yang bermastautin di negara ini.
Suriani yang juga Presiden Family Frontiers memberitahu, kerajaan berhasrat membuang hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak PR sekaligus membahayakan hak kewarganegaraan kepada bayi terdampar (individu tidak dikenal pasti ayah ibunya) dan kanak-kanak tanpa kerakyatan tanpa generasi.
“Sehubungan itu, kerajaan digesa meneruskan pembentangan pindaan kepada Seksyen 1(b) dan 1(c), Bahagian II Jadual Kedua yang berkaitan Perkara 14(1)(b) mengenai hak ibu Malaysia berkaitan mewariskan kewarganegaraannya kepada anaknya yang lahir di luar negara.
“Jika tidak, baki tiga pindaan regresif yang akan diteruskan tidak akan menyelesaikan punca masalah tanpa kewarganegaraan yang dikenal pasti kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu MCRA menyifatkan kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan had umur dari 21 kepada 18 tahun untuk tujuan mendapat kewarganegaraan sehingga Kementerian Dalam Negeri dapat menangani cabaran prosedur pemprosesan dan pentadbiran dalam bidang kuasanya.
Ia berkaitan pindaan tambahan peruntukan yang berkaitan Perkara 15(2), 15A,19(1),19 (2), 23(1), 23(3) dan 26(2), katanya. – MalaysiaGazette