KUALA LUMPUR – Seorang pelajar yang baru sahaja menerima tawaran Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima nasib malang apabila kediamannya musnah dalam kebakaran melibatkan 10 buah rumah lain di Papar, Sabah, baru-baru ini.
Pelajar terbabit telah mendapat perhatian daripada pihak yayasan yang telah membuat kunjungan menemuinya.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, beliau terpanggil untuk melihat sendiri keadaan Norwardina, 21, yang telah kehilangan harta benda disebabkan oleh rumahnya yang terbakar pada 4 Mac lepas.
“Bantuan yang diberikan ini tidak mampu membantu mereka sekeluarga sepenuhnya, namun diharapkan sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang perlu ditanggung untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta membeli keperluan dan peralatan persekolahan adik-adik yang baru memulakan persekolahan pada 11 Mac.
“YBR amat prihatin dengan musibah yang dihadapi Norwardina dan keluarga yang kini hanya sehelai sepinggang akibat rumah mereka telah musnah dijilat api serta memohon agar mereka yang berada diluar sana tampil membantu mereka dalam bentuk
bantuan tunai atau lain-lain kerana mereka amat mememerlukan,” katanya yang tampil sendiri menyampaikan sumbangan tunai di Kampung Laut Bongawan Sabah.
Menurutnya, beliau amat terkejut dan terkesan apabila melihat sendiri rumah mereka telah hangus dan musnah serta tiada apa yang mampu diselamatkan.
“Semoga mereka sekeluarga dipermudahkan segala urusan di bulan Ramadan yang mulia ini dan juga mendapat lindungan dari Allah,” ujarnya.
Turut hadir dalam pertemuan itu Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Norwardina turut mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana sudi hadir untuk melihat sendiri keperitan yang dihidapi dan berasa amat bersyukur dengan bantuan yang disampaikan.
Katanya, sumbangan itu dapat membantunya membeli peralatan persekolahan untuk adik-adiknya yang masih bersekolah serta meneruskan pengajian yang masih berlangsung.
YBR memberikan sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette