Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.Foto WAN NABIL NASIR, 05 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai lima individu disyaki suspek yang ditahan petang semalam bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis berpangkat korporal yang dibelasah sekumpulan individu di Taman Impian Indah Balakong, Kajang semalam.

Kesemua suspek sudah direman polis, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Menurutnya kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan antara 19 hingga 23 tahun itu direman selama seminggu.

“Susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kajang telah membuat tangkapan ke atas lima suspek lelaki tempatan itu.

“Mereka ditahan di sekitar Taman Impian Indah, Balakong selepas disahkan terlibat dalam kejadian jenayah tersebut bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 30 Mac ini untu tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menambah kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantungs sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Hussein juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768.

Tegas beliau, pada 23 Mac 2024, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan terdapat seorang lelaki telah kena pukul dan ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di kawasan Taman Impian Indah, Balakong.

Mayat telah dihantar untuk proses bedah siasat yang selesai dijalankan semalam dan keputusan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di kepala. – MalaysiaGazette