UPKO

PENAMPANG – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengadakan majlis sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan parti itu pada 9 Ogos depan, kata Presidennya Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata UPKO juga akan mengadakan konvensyen tahunannya pada 10 Ogos, manakala sambutan Pesta Kaamatan UPKO pada 11 dan 12 Mei ini.

“Pesta Kaamatan itu akan dihoskan oleh UPKO Beaufort dan sambutan dijangka berlangsung di Kuala Penyu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif UPKO di sini hari ini.

Ditanya persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Ewon berkata sebagai parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, UPKO sentiasa memberi pandangan dan pendirian parti supaya apa-apa isu yang timbul dapat dibincangkan secara terbuka serta matang.

“Saya percaya pimpinan UPKO dan PH (Pakatan Harapan) dapat membuat keputusan yang sebaiknya.  PH harus ada ruang yang sewajarnya di peringkat negeri, ini adalah pandangan UPKO,” katanya menambah parti itu setakat ini mempunyai lebih 160,000 ahli berdaftar.

Terdahulu pada majlis sama, beliau menyerahkan kad keahlian kepada bekas Ahli Dewan Negara Adrian Lasimbang yang kembali menyertai UPKO.

Menurutnya dengan kemasukan semula Adrian yang aktif dalam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya melibatkan isu alam sekitar akan mampu memberi nilai tambah kepada UPKO. – BERNAMA