Kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia memantau keadaan cuaca 24 jam sehari. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengan bulan April.

Jabatan Meteorologi berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang telah bermula sejak 11 November 2023.

Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan olehnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast