Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk, Yatimah Sarjiman, menunjukkan kad TnG NFC yang akan di berikan secara percuma kepada 3000 orang yang terawal mendaftar dalam Pengkalan Data pada sidang media mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jumlah pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) telah meningkat secara mendadak kepada 7.7 juta setakat 11.59 malam 24 Mac 2024, berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lalu.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, daripada jumlah pendaftaran terkini, kadar pendaftaran dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas telah mencecah 35.1%.

“Kami yakin angka ini akan terus meningkat dan mempunyai potensi untuk mencapai atau melebihi 50% menjelang 31 Mac akan datang,” katanya.

Rafizi menggalakkan orang ramai untuk tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar PADU.

“Dengan tarikh tutup yang semakin hampir, kami menjangkakan pendaftaran harian akan terus meningkat dengan mendadak,” ujarnya lagi.

Rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftar dan mengemaskini data ke dalam PADU sebelum tarikh akhir iaitu pada 31 Mac supaya tidak berlakunya risiko keciciran berterusan. – MalaysiaGazette