KAJANG – Lima individu termasuk satu pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang pengarah syarikat logistik dan pembinaan bagi mendapatkan wang tebusan.
Mereka terdiri daripada Ang Zi Teng, 24, Wong Chun Weng, 25, Ong Gim Yau, 28, dan pasangan suami isteri Wong Chin Sean, 32, dan Goh Chia Ying, 33.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan menawan atau mengambil daripada kawalan atau jagaan orang lain dengan niat memperoleh wang tebusan atau sebarang nilai atau imbuhan lain sebagai syarat pembebasan atau kembalinya ke atas mangsa berusia 37 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Dataran Jade, di sini, pada 12.30 tengah malam, 17 Februari lepas.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K. Mahendren, Eryanie Abdul Rahim dan P. Prakasam.
Mahkamah menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan kes. – Bernama