Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim

KUALA PILAH – Payo Campsite di Kampung Renggoh, Johol di sini berpotensi dijadikan sebagai destinasi agro pelancongan, bukan sahaja kerana tapak perkhemahanya, bahkan ia sesuai dijadikan hab produk industri kecil dan sederhana (IKS) di Negeri Sembilan.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, ini kerana Payo Campsite kini menjadi salah satu daya tarikan baharu di Negeri Sembilan, khususnya dalam kalangan peminat aktiviti perkhemahan.

“Saya ada melihat kawasan sekitar, di sini boleh dibangunkan (agro pelancongan) dengan melibatkan industri-industri kecil, mungkin menjadi satu hab untuk usahawan-usahawan kecil mengetengahkan produk kampung di sini.

“Mungkin lepas ini boleh diiklankan tempat campsite ini di media sosial, dan Negeri Sembilan boleh menjadi pusat hub agro pelancongan, Johol salah satunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorzunita Begum yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah berkata, selain agro pelancongan, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Belanjawan 2024 menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu usahawan IKS.

“Seperti dalam Belanjawan 2024 Negeri Sembilan, Menteri Besar ada mengumumkan inisiatif-inisiatif kepada usahawan-usahawan kecil. Usahawan ini kena ambil ruang dan peluang melihat apa inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Sebelum ini, kita ada usahawan tani dalam kalangan belia yang baru nak mengusahakan pertanian.

“Banyak agensi boleh membantu mereka seperti RISDA, Jabatan Pertanian, FAMA dan Kemas dari segi meluaskan produk, mempromosikan produk,” katanya.

Selain itu, pengusaha Payo Campsite juga layak untuk mendapat inisiatif khas daripada Kerajaan Negeri Sembilan khusus bagi tujuan pemerkasaan wanita.

“Ini menjadi salah satu peluang kepada wanita lebih berdaya saing untuk merebut peluang menjadi usahawan berjaya atau wanita yang lebih bermotivasi bagi membangunkan ekonomi keluarga atau negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast