Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima bangunan baharu bagi Ibu Polis Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di beberapa negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, empat negeri yang bakal menerima bangunan IPK baharu adalah di Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Pahang.

“Kita (KDN) ada peruntukan lama yang merupakan projek sambungan dan ada peruntukan baru yang kita umumkan (untuk IPK dan IPD baharu).

“Kita juga ada beberapa siri IPD baharu untuk dibangunkan misalnya di Daerah Kapit, Sarawak dan Padang Besar di Perlis.

“Daripada peringkat negeri ke daerah kemudian turun ke balai polis dan ia termasuk kepada pos kawalan mengikut bahagian masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Peringatan Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, ia bukan sahaja melibatkan bajet yang diumumkan Perdana Menteri bahkan dalam tempoh tertentu terdapat juga pengumuman khas yang semuanya bagi meningkatkan keupayaan kemudahan fasiliti dan logistik bagi PDRM.

Menurutnya, itu komitmen kerajaan melalui KDN kepada PDRM untuk memartabatkan lagi institusi keselamatan utama dalam negara itu bagi terus menjamin kebajikan dan kemudahan para pegawai dan anggota.

“Kita mahu memastikan setiap anggota dan pegawai bertugas dalam keadaan yang kondusif dan persekitaran tempat kerja yang terbaik dan selamat dan ia adalah komitmen utama kerajaan,” ujarnya.

Sambutan Peringatan Hari Polis kali ini diadakan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sederhana di dalam dewan tanpa perbarisan dan aset-aset PDRM bersempena menghayati bulan Ramadan.

Acara dimeriahkan dengan persembahan Subuh Berdarah yang berkisarkan tentang tragedi pertempuran polis dengan komunis di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang pada 1949.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast