Zam Halim Jamaluddin (dua dari kiri) menunjukkan syabu yang dibungkus dalam bungkusan makanan segera.

KUALA LUMPUR – Tiga individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran syabu dalam bungkusan makanan segera untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Mereka yang dicekup itu termasuk seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 34 tahun dalam serbuan berasingan di Cheras Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mereka di  kedai serbaneka yang terletak di sebuah kondominium.

“Susulan tangkapan dan berpandukan maklumat, kita membuat serbuan di sebuah unit kondominium sama sebelum membawa kepada tangkapan seorang wanita warga asing berusia 39 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut kami merampas dadah syabu anggaran berat 15,735 gram bernilai RM 503,520,” katanya pada sidang khas kejayaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.

Tambah Zam Halim, siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak Disember lalu dan menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan dari utara Semenanjung melalui aplikasi Telegram, sebelum dibungkus semula dalam bungkusan makanan segera, kemudian diedarkan.

“Semua suspek tidak memiliki pekerjaaan tetap menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama. Mereka menerima upah sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 untuk mengedar,” ujarnya.

Kesemua suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif.

Zam Halim berkata, pihaknya masih mengesan ahli sindiket lain yang terlibat.

Kesemua individu itu ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957. – MalaysiaGazette