Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat bagi melihat sendiri perkembangan pembinaan Hospital Pasir Gudang hari ini.

JOHOR BAHRU – Hospital Pasir Gudang dijangka akan siap sepenuhnya pada Mac 2025, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz.

Dengan keluasan 50.62 ekar, ia merupakan hospital kerajaan pertama di Pasir Gudang dan dilengkapi kemudahan perubatan moden yang canggih untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Insya-Allah, antara fasiliti yang disediakan seperti 304 katil, lapan bilik bedah, pusat rawatan harian, unit forensik, farmasi pandu lalu, bilik bersalin dan banyak lagi.

“Semoga pembinaan hospital ini mampu mengurangkan kesesakan sedia ada di dua hospital kerajaan terdekat seperti HSA dan HSI, seterusnya menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dan kondusif buat seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya menerusi kenyataanhari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga berkenan berangkat melihat perkembangan Projek Hospital Pasir Gudang hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Dr. Haji Azmi Rohani, Pegawai-Pegawai Kanan serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, negeri dan agensi.

Dilaporkan projek di kawasan Bandar Seri Alam bernilai RM375 juta itu bermula pada September 2020.

Ia turut menyediakan pusat rawatan harian, 30 kerusi dialisis, farmasi pandu lalu, 16 bilik bersalin, 34 kuarters jururawat dan hampir 1,000 ruang parkir.- MalaysiaGazette