KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu kesan inflasi keatas kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam kepada lapan peratus kurang daripada kosong peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kesan kepada kenaikan peratus tersebut tetapi perkara itu hanya pada kadar yang masih rendah.
“Perubahan kepada dasar cukai perkhidmatan terutamanya kenaikan kadar cukai perkhidmatan tidak memberi impak yang ketara kepada inflasi dengan anggaran sekitar 0.2 mata peratusan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin kerajaan menyatakan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai SST dari enam peratus kepada lapan peratus dan berapa jumlah tambahan kutipan hasil negara daripada pelaksanaan semua langkah cukai baru bagi tahun 2024.
Anwar berkata, ia disebabkan perubahan dasar yang hanya melibatkan cukai perkhidmatan dan cukai jualan kekal dengan skop dan kadar cukai sedia ada.
Malah Anwar berkata, skop cukai perkhidmatan adalah kecil hanya ke atas 41 peratus daripada bilangan perkhidmatan yang terdapat dalam ekonomi.
“Perubahan kadar cukai perkhidmatan dari enam peratus kepada lapan peratus tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan. Perkhidmatan logistik juga dikenakan kadar cukai enam peratus,” ujarnya.
Pelbagai perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai perkhidmatan seperti pendidikan; kesihatan; pengangkutan penumpang darat dan laut; pengangkutan penumpang udara bagi Rural Air Services di Sabah dan Sarawak; telekomunikasi prabayar kepada warganegara; penghantaran makan-minum; bekalan air; bekalan elektrik di bawah 600kWj bagi rumah kediaman; dan bekalan elektrik kepada premis perniagaan, katanya lagi.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan ini, kerajaan menjangkakan akan mengutip hasil berjumlah RM3 bilion setahun.
Semalam, Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada Februari 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, peningkatan inflasi itu didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6 peratus) dan pengangkutan (1.2 peratus).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kadar inflasi dua peratus kini masih rendah dan kerajaan cuba untuk membantu rakyat dengan menaikkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Kenaikan itu sekitar dua peratus itu masih terkawal dan rendah dan pandangan bahawa ada juga kesan dalam kalangan rakyat dan sebab itu kita cuma bantu dengan menambah STR dan beberapa tambahan lagi kerana ada kesan kenaikan kos sara hidup dan jumlah bantuan kerajaan sudah RM10 bilion tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette