Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan untuk tidak menekan para peniaga bazar Ramadan dengan kos sewa tapak yang tinggi, kata Perdana Menteri.

Justeru itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan  PBT tidak menaikkan kadar sewa tapak sewenang-wenangnya kerana tidak ada sebab untuk mereka berbuat demikian.

“Kalau secara spesifik soal bazar Ramadan yang saya dapat lawati di empat lima tempat, pertamanya kos sewa itu terlalu tinggi.

“Jadi kita telah memberikan arahan, kalau kos itu yang dikendalikan oleh majlis perbandaran, jangan ‘tekan’ (sewa) dalam keadaan sekarang,” katanya di sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya tentang impak kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Mac lalu menyebabkan rungutan peniaga bazar Ramadan yang menyebabkan mereka kerugian dan tidak dapat membayar kos sewa tapak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selain daripada kos sewa tapak yang terlalu tinggi, sebahagian PBT juga menyerahkan pengendalikannya kepada ejen-ejen.

“Akhirnya, penyewa tidak menyewa secara langsung daripada Majlis Perbandaran. Jadi kos (sewa itu) meningkat,” katanya.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan turut mengakui kenaikan SST daripada enam kepada lapan peratus mempunyai kesan sampingan yang mesti dikawal.

“Seperti yang kita tahu, ada kesan sampingan kecilan yang mesti dikawal. Saya setuju kita harus pantau tetapi secara khusus perniagaan bazar Ramadan ini, kebanyakan mengeluh ialah kerana kadar sewa yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. KERA JAAN JANGAN SEKSA RAKYAT NAIKAN HARGA BARANG,NAIKAN CUKAI,NAIK TAKRIF ELEKTRIK/AIR KANG KOK TAHUN YO PERINTAH MALAYSIA NI SEBELUM JADI KERAJAAN BUKAN MAIN NAK TURUN HARGA BARANG SEMUA, NI LA CIRI2 PEMIMPIM MUNAFIK AKHIR ZAMAN CERITA LAIN BUATNYA LAIN SEMUA KAKI PUTAR

Comments are closed.