KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Islam dan membuat tohmahan terhadap pasukan keselamatan itu menerusi video di laman Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima satu laporan pengadu pada jam 9.45 pagi ini yang melayari terlihat video berkenaan di laman Fecbook GANESPARANnadaraja.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK) atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
“Individu itu turut disiasat di bawah Seksyen 504 KK kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
“Polis turut melakukan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Razarudin, semakan mendapati video itu dimuat naik pada 23 Mac lalu dan individu tersebut dipercayai berada di Hamburg, Jerman.
“Justeru, pemeriksaan lanjut juga mendapati dia kali terakhir keluar dari negara ini pada 2 November 2017. – MalaysiaGazette