KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menyangkal dakwaan sebahagian besar masyarakat bukan Bumiputera tidak mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerana kurang percaya kepada kerajaan.
Sebaliknya Menteri Ekonomi berkata, ia disebabkan golongan tersebut tidak biasa menerima bantuan dan mengisi dokumen seumpama itu.
“Sebahagian besar golongan berkenaan tidak biasa menerima bantuan secara bulanan sebelum ini dan tidak banyak yang berada dalam sistem kerajaan.
“Mereka juga berasakan berada dalam golongan M40 ke atas dan tidak layak mendapat apa-apa bantuan. Itu sebabnya, bukan sebab defisit kepercayaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Rafizi (PH-Pandan) menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada soalan tambahan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Justeru itu, kata Rafizi, kerajaan cuba untuk meyakinkan golongan ini untuk mengemaskini data di sistem PADU kerana terdapat golongan in yang berisiko keciciran untuk mendapatkan subsidi kerajaan.
“M40 bukan bumiputera tidak semuanya kaya, ada yang layak mendapat bantuan dan bahayanya jika mereka tidak mendaftarkan diri didalam PADU oleh kerana mereka memang tidak pernah mendapat bantuan sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette