Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Isu gaji yang diterima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) didakwa berada bawah paras berkenaan turut dibawa ke Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bertanya melalui soalan lisan hari ini sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membantu mengenai guru-guru Pasti yang menerima gaji di bawah gaji minimum.

“Adakah KPM boleh bantu guru Pasti yang tidak menerima gaji minumum?” soalnya.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, isu gaji guru-guru berkenaan tidak dapat diselesaikan oleh KPM kerana sekolah berkenaan bukan di bawah kementeriannya.

“Pasti tidak didaftarkan di bawah KPM dan kita ada Akta Kerja 1955 dan saya percaya bahawa akta ini harus dipatuhi oleh kesemua pihak untuk menjaga kepentingan pekerja masing-masing,” katanya menjawab pertanyaan tambahan.

Terdahulu Mohd Sany bertanya sama ada KPM boleh membantu guru-guru Pasti yang dilaporan tidak menerima gaji minimum oleh pihak pengurusan.

Sebelum ini, tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Arahan siasatan tersebut turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI kerana membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah kadar gaji minimum.

Guru-guru Pasti didakwa menerima serendah RM500 bergantung yuran dibayar ibu bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan selain dilaporkan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak mempunyai pencen malah tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast