Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Beberapa individu berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Jun depan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara individu yang akan dipanggil adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta mantan Pengarah Kanan Strategi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Dayana Rogayah Omar.

“Sebanyak dua prosiding baharu akan dimulakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu LTAT yang akan dilaksanakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77 (1) (c) Peratuan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Pada awal Mac lalu, PAC berkata, pihaknya akan memanggil tiga bekas pengurusan LTAT bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentang pada 6 Mac lalu.

Malah PAC tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandangkan isu itu amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Satu lagi prosiding yang akan mengambil tempat adalah isu Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang akan dijalankan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77 (1) (d).

Mas Ermieyati berkata, prosiding itu akan memanggil saksi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM), dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Antara lain adalah Cybersecurity, vendor-vendor berkaitan dengan sistem tersebut termasuklah Sistem Keselamatan Imigresen Nasional Negara (SKIN).

“PAC memutuskan untuk memulakan prosiding ini berikutan jawatankuasa ini terkesan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar RM231.5 juta kepada sebuah syarikat atas penamatan kontrak bagi projek SKIN yang kini dikenali sebagai NIISe,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC melahirkan kebimbangan kerana kebanyakan isu yang disiasat oleh jawatankuasa itu masih mempunyai elemen meragukan.

Antaranya proses pembangunan sesuatu projek yang dimulakan terlebih dahulu walaupun kontrak masih belum dimuktamadkan, kelewatan pelaksanaan projek berpunca daripada pemilihan kontraktor yang tidak cekap dan kelemahan dalam memantau pengrusuan projek.

“PAC berpendapat tindakan korektif yang diambil pihakbertanggungjawab bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit seharusnya dipuji.

“Namun lebih elok jika kesemua projek dilaksanakan secara teratur tanpa sebarang masalah agar rakyat dapat menikmati manfaaatnya,” jelas Mas Ermieyati lagi. – MalaysiaGazette