KUALA LUMPUR – Kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2017 hingga tahun 2023, jelas Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.29 peratus pada tahun 2017 kepada 0.06 peratus pada tahun 2023.
“Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada tahun 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun 2023. Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar adalah 0.10 peratus.
“Untuk peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar. Kadar ini mengambil kira keseluruhan murid yang bersekolah di Malaysia,” katanya menjawab sesi soalan lisan hari ini.
Koh Wah menjawab pertanyaan lisan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu adakah KPM telah mengenal pasti kadar keciciran murid terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen serta apakah strategi dan usaha pembaharuan Kementerian untuk mengurangkan jurang pendidikan termasuk dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran.
Ke arah mengurangkan jurang pendidikan, KPM telah menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum. Bantuan ini turut diagihkan untuk murid yang tercicir akibat kemiskinan.
“KPM juga melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman. Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4,” jawab Koh Wah lagi.
Selain itu, KPM turut mewujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang ditubuhkan pada tahun 2013 dan beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur dengan tujuan memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette