TEMERLOH – Seorang wanita berusia 25 tahun maut apabila kereta Proton Saga dipandunya bertembung sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 29, Jalan Jerantut-Temerloh dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata. mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan kepala yang serius.
“Nahas yang berlaku pada jam 6 pagi tadi membabitkan kematian seorang pemandu wanita, mangsa dipercayai memandu dari arah Jerantut menuju ke arah Temerloh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori yang datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan masuk ke laluan mangsa dan melanggar bahagian hadapan kenderaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Akibat dari pelanggaran tersebut, penumpang kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dibawa ke Zon Kuning Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSHAS) bagi menerima rawatan lanjut.
Pemandu lori pula mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.
Manakala mayat mangsa dibawa ke unit forensik HOSHAS bagi tujuan bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette