Salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang-Perling, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang merempuh 11 kenderaan di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang-Perling menghala ke Perling pada 25 Mac 2024.

Hasil laporan tersebut dijangka diperolehi dalam masa terdekat.

Dalam rakaman yang tular di media sosial baru-baru ini didapati lori treler tersebut telah terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh 11 buah kenderaan yang berhenti di laluan bertentangan.

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila lori treler yang dipandu seorang lelaki warga tempatan tersebut dari arah Perling
menghala ke Pasir Gudang telah terbabas selepas mengelak sebuah kereta yang mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kanan dalam laluan lori treler itu

APAD menegaskan ia tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Siasatan awal yang melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengambil tindakan awal dengan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) serta termasuk
semakan saman yang pernah dikeluarkan kepada pemandu atau syarikat lori treler tersebut.

Dalam masa yang sama, JPJ juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM untuk mendapatkan laporan siasatan kemalangan.

Menurutnya, APAD dalam tindakan untuk mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen yang terlibat setelah mendapatkan Laporan
Audit Keselamatan dan Pemeriksaan JPJ (JISA) dan Laporan Pemeriksaan Kenderaan Selepas Kemalangan PUSPAKOM bagi mendapatkan kesahihan kes kemalangan.

APAD ingin mengingatkan mana-mana syarikat untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dalam memastikan keselamatan terhadap
pengguna jalan raya yang lain.

Pengendali dan pemandu perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan jalan raya. – MalaysiaGazette