Foto Bola Kompas.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Indonesia menewaskan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam telah memberikan kesan besar dari segi mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemaskini tidak rasmi di laman Footy Ranking, skuad Garuda naik empat anak tangga ke kedudukan 135 dunia selepas mengutip tambahan mata sebanyak +14.66 hasil kemenangan 3-0 ke atas Vietnam.

Minggu lalu, mereka berada di kedudukan 138 dunia selepas mengutip mata sebanyak +15.37 apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno sekaligus menjadikan jumlah mata keseluruhan yang dikumpulkan oleh Indonesia ialah sebanyak 1102.7 sekaligus membantu memotong kedudukan ranking Malaysia.

Kekalahan 0-2 kepada Oman pula menyebabkan Malaysia kehilangan mata sebanyak -7.68 dan dijangka turun tiga anak tangga sehingga di kedudukan 137 dunia.

Jumlah mata keseluruhan yang dikumpul oleh skuad Harimau Malaya setakat ini ialah 1096.22 dan kembali semula ke kedudukan keempat ASEAN di belakang Thailand, Vietnam dan Indoensia.

Kedudukan rasmi ranking setiap negara akan dikeluarkan oleh FIFA pada bulan depan.

Indonesia yang kini dikendalikan oleh Shin Tae Yong mengalami peningkatan prestasi sejak diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi yang berkualiti dari kelab luar negara.

Tidak mustahil mereka akan melonjak sehingga berada dalam kelompok 120 dunia jika konsisten mencatat keputusan positif dalam beberapa perlawanan akan datang.

Mereka juga kini mempunyai peluang cerah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027. – Agensi