Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengaku pihak media banyak membantunya sejak di awal kemunculannya dalam industri seni hampir 30 tahun yang lalu.

Siti menerusi Yayasan Nurjiwa tampil memberi bantuan bagi meringankan beban mereka apabila prrihatin dengan nasib segelintir pengamal media yang kurang bernasib baik atau berada dalam kesulitan ketika ini.

Istimewa sempena Ramadan ini, Siti yang mengasaskan yayasan tersebut bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K berkolaborasi bersama Yayasan Prihatin National.

“Saya sangat terhutang budi dengan pengamal media yang saya sudah anggap seperti keluarga saya sendiri. Terima kasih kepada pihak media yang sudi hadir atau bertugas.

“Tidak lupa kepada wartawan yang mula-mula menemuramah saya iaitu Cikli (Rosli Manah) yang tak dapat hadir. Huzz juga tidak dapat hadir, tapi kita ada Joha dan Abang Nas (Nas Melodi) yang suka ‘terjah’ saya. Mereka inilah antara yang melihat saya dari awal kerjaya.

“Insya-Allah, apa yang Yayasan Nurjiwa boleh bantu, kita bantu sebaik mungkin,” katanya pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin bertempat di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur malam tadi.

Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir bergambar bersama anak-anak yatim pada Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Prihatin di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Antara wartawan dan bekas editor yang diraikan dan menerima sumbangan ialah Noor Joha, Nas Melodi, Bob, Muhammad Basir (suami kepada jurugambar Utusan, Allahyarham Nor Azlina), Serimah dan ramai lagi.

Menurut Siti, pertemuan dengan bekas-bekas wartawan memberi momen istimewa buat dirinya.

Katanya, ramai wartawan yang sentiasa menyokong dan memberi publisiti kepadanya sejak awal pembabitannya.

“Kalau dulu, masyarakat nak tahu tentang artis semuanya melalui media. Iyalah dulu belum ada media sosial seperti sekarang. Artis-artis terkenal termasuk saya pun memang bermula dari pengamal media.

“Pengamal media yang membantu saya dari awal kerjaya juga ada dalam majlis ini. Jadi inilah masa untuk kami membantu semula. Mungkin tidaklah banyak, tapi insya Allah boleh meringankan (beban), memberikan senyuman kepada rakan-rakan media saya,” ujarnya.

Datuk Seri Siti Nurhaliza bercakap pada media ketika Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Prihatin di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Siti juga tidak dapat menyembuyikan rasa terharu dalam masa sama bersyukur kerana berpeluang bertemu mereka.

“Ada rasa sedih, terharu dan gembira apabila melihat insan-insan yang melihat saya membesar sebagai penyanyi, momen-momen lama tu muncul kembali.

“Saya ingat saya nak jumpa Huzz malam ni, tapi dia belum sihat. Begitu juga Cikli wartawan pertama yang menulis tentang saya namun disebabkan keadaan tidak mengizinkan .

“Sumbangan kita berikan, cuma waktu untuk bertemu itu mungkin di lain hari. Dalam masa yang sama saya doakan mereka diberikan kesembuhan dan kesihatan yang lebih baik.

“Mereka ibarat keluarga saya. Mereka tulis tentang saya di awal kerjaya saya dulu, banyak kenangannya. Mana yang menegur, mengusik, itulah kami ibarat keluarga,” tambahnya lagi.

Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir pada Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Prihatin di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 26 MAC 2024.

Dalam majlis tersebut, selain pengamal media pelantun lagu Romansa Kita dan Magis ini turut menyantuni warga artis veteran antaranya ialah Zaiton Sameon, Roy, Ali XPDC, Rashidah Jaafar, Roslan Ahmad, Dharma Harun, Mak Wan dan ramai lagi.

Tidak dilupakan ialah 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus serta ibu tunggal seramai 40 orang dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair (NEGARAWATI).

Yayasan Nurjiwa juga menyeru lebih ramai lagi masyarakat akan dapat bersama-sama dengan badan amal yang menjadi medium menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Kolaborasi antara Yayasan Prihatin Nasional dan Yayasan Nurjiwa pasti memberi impak yang luar biasa untuk terus membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama di seluruh pelusuk tanah air dan antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast