Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Trend serangan siber di negara ini didapati menurun sepanjang tahun lalu, kata Menteri Digital.

Gobind Singh Deo memberitahu Dewan Rakyat, sebanyak 3,232 kes dilaporkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Penurunan ini mencerminkan keberkesanan langkah proaktif dilaksanakan bagi melindungi ruang siber kita.

“Justeru, langkah proaktif dilaksanakan perlu diperluas secara terselaras bagi memastikan tempoh pengesanan dan tindak balas terhadap insiden keselamatan siber dapat disingkatkan melalui proses sistematik, penggunaan teknologi bersesuaian dan modal insan berkepakaran tinggi,” katanya.

Gobind berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, bagi tahun 2016 hingga 2022,   trend serangan siber di negara ini telah meningkat seperti Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDOS), Pencerobohan, Jangkitan Perisian Hasad, Penghosan Perisian Hasad dan Advanced Persistent Threat (APT).

Menurutnya, sebanyak 7,192 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada (NACSA) pada 2022, berbanding 5,575 pada 2021 dan 4,194 pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, serangan siber yang semakin berleluasa masa kini bukan sahaja mampu melumpuhkan perkhidmatan sesebuah organisasi dan menggugat ekonomi negara malah turut mengancam keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya langkah pencegahan tidak dilaksanakan.

Bagi memperkukuhkan keselamatan siber negara, kerajaan telah memutuskan supaya mekanisme dan sistem pengurusan keselamatan siber negara perlu diberi anjakan paradigma atau ditransformasikan.

“Ia supaya mampu menghadapi sebarang bentuk ancaman siber pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Secara dasarnya, penggubalan RUU Keselamatan Siber 2024 memberi tumpuan kepada perlindungan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara.

“Ini kerana apa-apa pencerobohan atau serangan ke atas infrastruktur kritikal ini boleh memberi impak yang besar kepada negara dan rakyat khususnya dalam aspek keselamatan, ekonomi, kesihatan dan sosial,” katanya lagi.

Pindaan RUU Keselamatan Siber 2024 ini bagi memastikan aspek keselamatan siber bagi infrastruktur maklumat kritikal negara akan dapat dipertingkatkan melalui rangka kerja yang telah diwujudkan. – MalaysiaGazette