Firdaus Wong menunjukkan salinan laporan polis mendakwa dirinya dan keluarga menerima ugutan bunuh. Gambar: Facebook Firdaus Wong

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju selepas mendakwa beliau dan keluarganya menerima ugutan bunuh.

Beliau berkata, sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap lima individu dan mungkin lebih banyak aduan akan dibuat ke atas pemfitnah.

“Satu laporan ugutan bunuh terhadap saya dan ahli keluarga. Satu laporan ugutan pukul dan selebihnya kerana memfitnah saya.

“Ugut dan fitnahlah saya macam mana pun, sesekali saya tidak pernah gentar dan akan meneruskan dakwah saya.

“Saya sering nasihatkan sahabat jangan bertindak di luar batasan agama dan undang-undang, so let me walk the talk as well dengan biarkan pihak berkuasa untuk ambil tindakan terhadap mereka semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Firdaus turut memaklumkan akan mengemukakan saman fitnah terhadap mereka yang terlibat.

Baru-baru ini, Firdaus Wong menjelaskan, beliau tiada motif peribadi dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart yang masih hangat diperkatakan.

Beliau berkata demikian susulan gambarnya di depan kedai serbaneka miliknya, MyKampung Freshmart kembali disebarkan di media sosial.

Dia menjelaskan, tujuannya membuat hantaran berkenaan isu stoking itu bukan untuk mensabotaj KK Mart mahupun atas dasar persaingan perniagaan, memandangkan MyKampung Freshmart sudah dihentikan operasi pada dua tahun lalu. – MalaysiaGazette