KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memerlukan masa tambahan untuk memulihkan gangguan elektrik yang berlaku di IOI City Mall, Putrajaya.
Lantaran itu, pusat beli belah berkenaan terpaksa ditutup kepada orang ramai hari ini.
IOI City Mall dalam kenyataannya di Facebook berkata, pihak TNB sudah mengenal pasti pelbagai kerosakan dan kini sedang berusaha untuk memulihkannya.
“Bagaimanapun, TNB tidak dapat memberi jaminan bila mereka akan dapat memulihkan bekalan elektrik berikutan kerumitan isu.
“Oleh itu, demi kepentingan terbaik semua penyewa dan pelanggan kami, pusat beli-belah ini tidak akan beroperasi hari ini bagi membolehkan TNB melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
“Kami mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan keprihatinan anda serta berharap untuk mengalu-alukan kedatangan anda tidak lama lagi,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, pusat beli belah berkenaan ditutup sementara kerana mengalami gangguan elektrik.
Gangguan itu dikatakan berpunca akibat masalah di loji TNB yang membekalkan bekalan elektrik ke pusat beli-belah itu. – MalaysiaGazette