Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban bagi meninjau persediaan PLUS dalam menghadapi pertambahan trafik di lebuh raya utara-selatan sempena perayaan Aidilfitri ketika di Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

SEREMBAN – Segala kerja-kerja membaiki dan menyelenggara jalan di lebuh raya utama di seluruh negara akan ditangguhkan bermula pada 1 hingga 17 April ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nantha Linggi berkata, langkah itu diambil untuk mengelakkan kesesakan teruk semasa orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Segala kerja-kerja membaiki atau menyelenggara jalan di lebuh raya kita akan hentikan selama 17 hari sepanjang sambutan Aidilfitri.

“Namun kerja-kerja yang tidak ada keperluan untuk menutup jalan dibenarkan kecuali berlaku sebarang kesesakan serius dan kemalangan di lebuh raya yang memerlukan tindakan membaiki jalan,” katanya pada sidang media khas selepas hadir meninjau di Rumah Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini petang tadi.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan melancarkan aliran kenderaan di lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menyediakan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Rela di 11 lokasi strategik risiko kemalangan di lebuh raya.

“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan nanti mereka akan bertindak pantas bergegas ke lokasi untuk tindakan sewajarnya.

“Pelaksanaan larangan kerja penyelengaraan atau kerja membaiki jalan di lebuh raya ini telah dipersetujui bersama oleh semua pihak terlibat termasuk PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untu menjamin perjalanan selesa kepada pengguna tanpa kesesakan semasa sambutan Aidilfitri nanti,” katanya. – MalaysiaGazette