Persediaan yang dilakukan sebelum operasi pembenihan awan dijalankan di Sabah hari ini. Foto Nadma

KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah akan dijalankan selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan tiga daerah iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan setelah menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran
800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan oleh pihak MetMalaysia.

Menurut Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus, pelaksanaan OPA ini dibuat bagi mendapatkan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Nadma juga memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menampung kos penghantaran bekalan air.

“Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini agar mengemukakan cadangan kepada pihak Nadma untuk dibuat penilaian.

“Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul berkata, kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah. Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran.

Dalam pada itu, katanya, impak fenomena cuaca panas dan kering semasa peralihan Monsun Timur Laut turut melibatkan beberapa kawasan di Sabah.

Sehingga 26 Mac 2024, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok. – MalaysiaGazette