Pemandu kereta berusia 33 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di lokasi insiden berhampiran Restoran Marina, dekat Tanjung Lumpur hari ini.

KUANTAN – Seorang pengurus kurier swasta maut apabila kereta Proton Pesona dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pikap yang terbabas di Jalan Tanjung Lumpur pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Ng Chee Siang,33, yang cedera parah meninggal dunia di lokasi nahas.

Kenderaan mangsa berlanggar dengan pemandu kenderaan 4×4 yang mempunyai dua rekod saman yang datang dari arah Kuantan ke Tanjung Lumpur.

Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Hilux yang sedang bergerak di selekoh tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh mangsa yang sedang bergerak lurus.

Pemandu pikap kini dirawat di zon merah wad kecemasan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTAA.

Wan Zahari berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette