Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Puad Zarkashi menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang isu peribadi dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Malah, kritikannya terhadap Rafizi berhubung Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) juga bukanlah untuk menghasut.

“Rafizi dakwa kritikan saya terhadap PADU bersifat peribadi. Menurutnya, saya tetap tidak akan berpuas hati walaupun Malaysia menjadi negara kaya.

“Saya tidak ada isu peribadi dengan Rafizi. Saya hanya tunggu formula beliau menjadikan Malaysia kaya-raya. Saya tidak menghasut tetapi mengkritik,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menerusi hantaran terbaru di Facebook beliau, hari ini.

Menurut Mohd Puad lagi, Rafizi telah menunjukkan sikapnya ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri sebelum ini.

Katanya, Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, namun ketika itu Rafizi pula menghasut.

“Sekarang dia tahu ECRL itu bagus, HSR, Pan Borneo, GST, Tun Razak Exchange, RAPID dan BRIM bawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Tetapi, apa kejayaan formula beliau yang boleh dibanggakan sejak jadi Menteri. Sarawak dan Sabah pun tolak PADU,” ujarnya.

Semalam, Rafizi dalam satu sidang media berkata, serangan dan kritikan yang sering dibuat oleh Mohd Puad mengenai PADU adalah bersifat peribadi.

Katanya, kritikan terhadap PADU itu hanya dicanang oleh beberapa individu sahaja dan tidak mencerminkan situasi sebenar mengenai sistem berkenaan.

“Yang bising ini Puad Zarkashi sahaja. Puad Zarkashi ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak bersetuju dengan saya.

“Ini kerana dulu saya bawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa dia menjadi (Ketua) Pengarah JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) dan dia kalah pilihan raya.

“Selepas itu, terpelanting daripada kerajaan. Jadi, ia peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette