Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat teknologi maklumat akan dirakam percakapan Sabtu ini susulan penemuan sebuah bagasi berisi wang tunai di tempat parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 20 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki Cina terbabit berjanji dengan pihaknya untuk tampil dan membawa bukti untuk menuntut wang tersebut.

“Ketika ini dia janji akan datang pada 30 Mac ini iaitu esok hari Sabtu. Kalau dia datang esok, pihak polis akan ambil rakaman percakapan dia.

“Kita akan lihat bukti-bukti yang boleh menunjukkan itu adalah duit syarikat dia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Pada 21 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengarah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa wang tersebut milik syarikatnya dan merupakan duit perniagaan.

Sebelum itu, seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini pagi 20 Mac.

Dalam pada itu, Hussein berkata, sekiranya tiada mana-mana pihak tampil dan gagal mengemukakan bukti, pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sebaik sahaja polis berpuas hati dengan tempoh yang kita berikan, tiada siapa yang tampil, setakat ini hanya seorang yang mengaku duit dia, cuma dia belum datang untuk bagi kenyataan.

“Kemudian kita akan siarkan notis dalam akhbar-akhbar, satu lagi tempoh kita akan beri, di bawah siasatan harta yang tidak dituntut.

“Selepas tempoh itu, barulah duit ini akan melalui proses rujuk kepada AGC untuk dipulangkan kepada kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette