SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM10.9 juta kepada 27 Rumah Pemulihan Riqab (RPR).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sumbangan itu diberi menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Selangor.

“Sumbangan RM10,973,640 itu melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan Asnaf Riqab di Rumah Pemulihan Riqab yang berada di bawah seliaan MAIS bagi 2024,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Riqab MAIS 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, petang ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Riqab, Tan Sri Hashim Meon dan timbalannya, Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyerahkan sumbangan Geran Bantuan Pemulihan Riqab berjumlah RM10,973,640 kepada Ketua Bahagian Pendaftaran Muallaf dan PIBK MAIS, Hafizatul Akmal Abdul Jalil di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, hari ini.

Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Teduhan Kasih, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Penawar Alam Jaya dan Rumah Perlindungan serta Bimbingan Wanita Bayt Rahmah dan Rumah Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.

Selain itu, katanya, MAIS turut menyumbang sebanyak RM357,000 kepada 1,190 orang asnaf riqab di Selangor.

“Ia bagi membantu asnaf-asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Ia bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Katanya lagi, MAIS berharap sumbangan itu dapat digunakan sebaiknya pengusaha RPR untuk memastikan asnaf riqab tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan sewajarnya.

“Saya berharap proses bimbingan, pemulihan dan pendidikan kepada asnaf Riqab ini dapat diperkemaskan dengan lebih baik lagi.

“Semoga penerima manfaat daripada kalangan asnaf Riqab ini segera pulih dan kembali ke jalan Islam yang sebenarnya, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette